Thursday, May 6, 2010

Betul ke??

Abai penampilan

Oleh Shamsul Munir Safinishamsulmunir@hmetro.com.my2010/05/06

KUALA LUMPUR:”Isteri-isteri di Malaysia kurang menjaga penampilan diri, malah ada yang sudah bosan menjadi suri hati suaminya yang dianggap sudah ‘pencen’. Lebih menyedihkan mereka hanya fokus kepada anak dan cucu berbanding suami,” kata kaunselor, Hushim Salleh mengenai sikap isteri pasangan warga emas sekarang. Katanya, fenomena itu budaya baru dalam masyarakat apabila pasangan sudah menjengah usia emas.
Kaum wanita (isteri) katanya, sudah jarang menjaga penampilan diri malah ada yang memarahi suami jika cuba bermanja-manja dengan alasan sudah lanjut usia dan sebagainya.
Hushim berkata, tidak hairanlah jika lelaki atau suami warga emas ini mudah didekati gadis muda dari seberang yang ternyata pandai melayan dan menjaga hati lelaki ini. “Golongan wanita warga asing ini pandai mendalami keinginan lelaki warga emas yang tidak akan pernah surut.
“Bukan itu saja, golongan suami ini tidak dipedulikan, malah jarang berkomunikasi dengan si isteri yang sibuk dengan anak dan cucu hingga merasa terpinggir kerana tidak didekati seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro kelmarin mengenai seorang lelaki warga emas yang menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Klang, Selangor sejak beberapa hari lalu dipercayai dilamun cinta sebelum membuat keputusan nekad mengikut seorang wanita warga Indonesia pulang ke negara asalnya.
Hushim berkata, masyarakat tidak boleh hanya menyalahkan perempuan dari seberang apabila berlaku kes seperti ini kerana masalah berpunca daripada pasangan itu sendiri.
“Memang tidak dapat disangkal perempuan ini mahukan kesenangan, lebih lagi cinta sebegini bukan sesuatu yang ikhlas.
“Mereka mungkin hanya mahukan wang ringgit sebelum meninggalkan lelaki warga emas itu terkontang-kanting, namun isteri perlu mengambil langkah mengatasi masalah ini sebelum ia menjurus ke arah itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri V S Suwaminathan berkata, ia bukan satu jenayah jika mengikut wanita seberang dengan rela hati.

“Ia akan menjadi satu jenayah besar jika mereka ditipu dan terdapat unsur jenayah seperti menghasut dan sebagainya.
“Jika ia dilaporkan kepada polis dengan dakwaan dan bukti kukuh oleh pihak keluarga, ia sepatutnya dipandang serius kerana bakal mengundang pelbagai masalah,” katanya.
Suwaminathan berkata, perkara ini jika tidak dibendung akan menjadi masalah besar kelak, termasuk perpecahan keluarga akhirnya menjadi faktor kepada gejala sosial.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails